Maut tertembak, keluarga renjer terima ganti rugi RM281,807

Maut tertembak, keluarga renjer terima ganti rugi RM281,807

Mangsa terbunuh dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun, Rembau, pada Ogos 2018.

Mahkamah memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka yang mana defendan pertama bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian Cyril Quing. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Seremban memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM281,807.20 kepada keluarga Cyril Quing, renjer yang meninggal dunia akibat terkena tembakan rakannya.

Mangsa terbunuh dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun, Rembau, pada Ogos 2018.

Hakim Surita Budin membuat keputusan berhubung ganti rugi kepada isteri mendiang, Winnona Simon dan dua anak perempuannya, Callista Wanda Cyril serta Calliandra Wenzel Cyril dalam kes saman sivil keluarga itu.

Keluarganya memfailkan saman terhadap pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) iaitu ketua operasi membasmi kera di lokasi kejadian, pengarah perhilitan Negeri Sembilan, ketua pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia dan kerajaan Malaysia pada 2020.

Peguam Ahmad Nabilimran Ahmad Halimi yang mewakili keluarga mendiang berkata, Surita memaklumkan keputusan itu secara dalam talian petang semalam.

“Mahkamah memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutannya yang mana defendan pertama bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian mendiang.

“Ini kerana, ketika operasi itu, mendiang berada bawah jagaan dan tanggungjawab defendan untuk memastikan keselamatan dalam operasi yang membabitkan senjata api,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, mahkamah juga memaklumkan defendan kedua, ketiga dan keempat turut bertanggungjawab atas kecuaian defendan pertama.

“Mahkamah menetapkan bayaran RM165,307.20 untuk kehilangan tanggungan, RM10,000 untuk kedukaan, RM6,500 untuk kos pengebumian dan RM100,000 untuk kerosakan yang lebih teruk.

“Mahkamah turut membenarkan faedah 5% untuk ganti rugi am dari tarikh penyampaian saman sehingga penghakiman dan 2.5% untuk ganti rugi khas dari tarikh kejadian (29 Ogos 2018) sehingga tarikh penghakiman.

“Selain itu 5% ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos tindakan secara global sebanyak RM30,000,” katanya.

Media pada 29 Ogos 2018 melaporkan renjer Jabatan Perhilitan maut selepas dipercayai terkena tembakan rakan dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.