
Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata tiada langsung wakil daripada BN di peringkat DUN dalam kawasan Parlimen yang didominasi PH, misalnya bawah Parlimen Seremban dan Rasah.
“Di Seremban, ada enam kawasan DUN tetapi semuanya dimiliki PH. Begitu juga di Rasah. Satu kerusi di Seremban harus diberikan kepada BN, begitu juga di Rasah,” katanya kepada FMT dalam temubual di Parlimen baru-baru ini.
Pada PRU14, calon-calon PH yang bertanding atas tiket PKR menawan DUN Lenggeng (majoriti 986 undi), Nilai (9,825), Lobak (11,782), Temiang (3,063), Sikamat (3,413), dan Ampangan (1,360) bawah Parlimen Seremban; DUN Labu (882), Bukit Kepayang (14,924), Rahang (6,560), Mambau (12,389), dan Seremban Jaya (10,507) bawah Parlimen Rasah.
Jalaluddin tidak mendedahkan kerusi yang diingini, namun keputusan PRU14 menunjukkan calon PH bersaing sengit dengan pencabar di Lenggeng (BN 6,470 undi dan PAS 1,612 berbanding PKR 7,456) dan Labu (BN 5,830 dan PAS 2,093 berbanding PKR 6,712).
Jalaluddin pada 5 April lalu memaklumkan pihaknya meminta dua DUN untuk ditandingi pada PRN nanti, yang menurut Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun akan dibincangkan oleh majlis presiden PH yang dijangka mengambil masa sebulan.
Dalam pada itu, BN Negeri Sembilan meminta agihan kerusi sama rata, iaitu masing-masing 18 DUN, katanya. Berbeza dengan situasi di negeri lain yang ditadbir PH, kedudukan BN lebih kuat dengan 16 DUN berbanding PH 20.
“Apabila kita dapat terjemahkan kerjasama, saya yakin kita akan dapat menjadikan Negeri Sembilan sifar pembangkang,” katanya, dan menambah beliau percaya tolak ansur di pihak PH akan membuatkan jentera BN lebih bersemangat dan yakin, serta meredakan sebarang rasa tidak puas hati.
DUN Negeri Sembilan selain Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, dan Terengganu dijangka dibubarkan pada hujung bulan ini, dengan PRN diramal berlaku pada hujung Julai dan Ogos.