Jangan sibuk parti lain, PN mungkin lenyap di NS, kata Jalaluddin

Jangan sibuk parti lain, PN mungkin lenyap di NS, kata Jalaluddin

Pengerusi Umno negeri itu berkata PN perlu lebih realistik dengan keadaan semasa mahupun kedudukan parti itu di Negeri Sembilan.

Jalaluddin Alias
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata PN perlu fokus berkhidmat di lima kerusi DUN yang dimenangi di negeri itu bukannya sibuk dengan urusan parti lain.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) sepatutnya fokus untuk mempertahankan lima DUN yang dimenanginya di Negeri Sembilan bukannya sibuk memberi pandangan mengenai parti lain, kata pengerusi Umno negeri Jalaluddin Alias.

Jalaluddin berkata kenyataan Pengerusi PN negeri Mohamad Hanifah Abu Bakar bahawa Barisan Nasional (BN) tidak yakin boleh menawan Negeri Sembilan jika bergerak secara bersendirian adalah tidak berfakta.

Katanya, Hanifah juga perlu lebih realistik dengan keadaan semasa mahupun kedudukan PN di Negeri Sembilan.

“Lakukan kerja kamu untuk memastikan PN akan terus timbul di Negeri Sembilan. Jika tidak, PN mungkin lupus di negeri ini dalam pilihan raya akan datang.

“PN sepatutnya fokus memberi khidmat dan ‘perform’ dahulu di kerusi yang diberi mandat itu dan bukannya sibuk memberi pandangan mengenai parti lain,” katanya ketika dihubungi FMT.

Jalaluddin mengulas kenyataan Hanifah semalam yang mendakwa langkah BN menyertai rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan gabungan itu tidak yakin boleh menang jika bergerak solo.

Hanifah juga percaya BN sedar tentang peningkatan sokongan terhadap PN di Negeri Sembilan.

“PN Negeri Sembilan menerima sokongan padu pengundi Melayu dalam PRU15, serta sokongan semasa PRN pada 2023 menunjukkan peningkatan ketara pengundi bukan Melayu terhadap PN,” katanya

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata cadangan supaya kesepakatan mengenai pembahagian kerusi secara sama rata dicapai adalah penting bagi memperkukuh kerjasama BN-PH demi kekuatan dan kebaikan pentadbiran negeri itu seperti yang ada sekarang.

Katanya, persefahaman itu perlu bertambah kuat bukan sahaja di peringkat kepimpinan tetapi juga di kalangan rakyat Negeri Sembilan.

Kerajaan perpaduan ketika ini memegang 31 daripada 36 kerusi, iaitu 17 bagi PH dan 14 BN. PN pula menduduki lima kerusi.

Sebelum ini, Jalaluddin menyuarakan harapan rundingan kerusi antara BN dan PH akan membawa kepada pembahagian kerusi sama rata pada pilihan raya akan datang.

Katanya, kerusi DUN wajar dibahagi 18-18, dengan BN mempertahankan kerusi sedia ada dan menyasarkan beberapa kerusi yang diduduki PN, terutama Serting, Gemas dan Bagan Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.