11,512 kediaman di Johor tak terjual

11,512 kediaman di Johor tak terjual

Kediaman berharga RM500,000 ke atas itu terletak di Johor Bahru dan Iskandar Puteri menarik minat pembeli dari Singapura.

Exco Perumahan Mohd Jafni Md Shukor berkata Johor menetapkan hanya hartanah bernilai RM1 juta ke atas ditawarkan kepada warga asing termasuk Singapura. (Gambar Umno Online)
JOHOR BAHRU:
Sebanyak 11,512 unit pangsapuri perkhidmatan berharga RM500,000 ke atas sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri tidak terjual, kata Exco Perumahan Johor, Mohd Jafni Md Shukor.

Bagaimanapun, beliau berkata pemaju yang terlibat dengan kediaman tidak terjual itu sudah mula mendapat maklum balas positif daripada pembeli warga asing khususnya Singapura susulan harga rumah di republik tersebut dilaporkan sebagai paling mahal di Asia Pasifik tahun ini.

“Pembeli hartanah tempatan tidak perlu khuatir kerana dasar perumahan rakyat Johor telah menetapkan hanya hartanah bernilai RM1 juta ke atas ditawarkan kepada warga asing termasuk dari Singapura,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Undian Terbuka Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) Taman Kempas Utama.

Mohd Jafni berkata, dianggarkan 1,000 unit RTBJ akan dibina dalam tempoh lima tahun selepas projek rintis di Taman Kempas Utama mendapat sambutan luar biasa.

Menerusi program RTBJ, individu terpilih boleh menghuni kediaman itu dengan membayar RM650 sebulan dan RM460 akan ditolak sebagai bayaran sewa manakala RM190 dijadikan simpanan dan selepas lima tahun, simpanan terkumpul akan dijadikan deposit untuk membeli rumah baharu.

Katanya, sebanyak 50 pemaju akan menyertai Expo Perumahan Johor yang bakal berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall selama empat hari bermula 27 Julai depan sekali gus dijangka membantu penjualan kediaman tidak terjual yang siap dibina d negeri itu.

Pada 6 Mei lepas, Mohd Jafni berkata, 80% kediaman tidak terjual di negeri itu membabitkan pangsapuri perkhidmatan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.