Mayat bayi ditemui terapung di laut

Mayat bayi ditemui terapung di laut

Kejadian itu disedari oleh penduduk yang melalui jambatan kayu di Kampung Tanjung Aru Lama sebelum menghubungi polis.

Mayat bayi ditemukan terapung tanpa pakaian di laut di perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru Lama, petang semalam. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemui terapung di laut di perkampungan atas air, Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu, petang semalam.

Kejadian itu disedari oleh penduduk kampung yang melalui jambatan kayu di kampung berkenaan sebelum menghubungi polis, kira-kira 6.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Kalsom Idris, berkata sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi terbabit, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan.

Katanya, bayi itu ditemui terapung tanpa pakaian di laut dekat jambatan di perkampungan atas air berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai baru dilahirkan namun setakat ini belum ada apa-apa maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

“Bayi terbabit juga disyaki dibuang ke laut selepas dilahirkan,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

Kalsom berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Setakat ini jantina bayi belum dapat dipastikan dan akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.