Jika Umno penting untuk ‘perpaduan’, mana tempatnya dalam majlis penduduk WP? soal perwakilan

Jika Umno penting untuk ‘perpaduan’, mana tempatnya dalam majlis penduduk WP? soal perwakilan

Perwakilan mahu Umno diberi tempat dalam majlis perwakilan penduduk, kementerian diwujudkan semula, dan Naib Presiden Johari Ghani diberi peranan penting dalam pemerintahan.

Umno mahu Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan agar isu-isu yang membelit wilayah itu dapat ditangani dengan punca kuasa dan peruntukan yang luas.
KUALA LUMPUR:
Umno Wilayah Persekutuan tidak terasa ‘kebersamaan’ kerajaan perpaduan yang diperkatakan muktahir ini, dengan ketiadaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemimpinnya tidak diberi peranan dalam pemerintahan.

Ketua Penerangan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata Umno seakan ‘pembawa bunga manggar’ untuk kerajaan perpaduan di Wilayah Persekutuan, kerana ia tidak diberi upaya untuk menentukan dasar dan hala tuju bagi wilayah itu, mahupun menangani isu-isu yang tertangguh.

“Jawatan menteri dimansuhkan, jawatan senator untuk Labuan yang diperuntukkan diberi kepada orang yang tidak berkenaan, sehinggalah jawatan penting seperti ahli majlis perwakilan penduduk di setiap Parlimen yang diterajui Ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak dibincang dan diberikan kuota kepada Umno,” katanya ketika perbahasan perhimpunan agung Umno 2023, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Inilah nasib kita yang lebih kepada penyeri majlis yang tidak boleh menentukan sebarang dasar…Padahal kita di Wilayah Persekutuan ada seorang naib presiden Umno,” katanya merujuk kepada bekas menteri kewangan II, Johari Ghani.

Muszaffar mengingatkan Umno bahawa ia mewakili penyokong dan pengundi Melayu di Wilayah Persekutuan yang mahu ia menjuarai isu masyarakat itu.

Memandangkan betapa penting kedudukan Umno dalam kerajaan perpaduan ketika ini, ia menggesa “satu-satunya Ahli Parlimen Umno yang menang di dalam PRU15 lepas sepatutnya diberi peranan dan tempat yang penting dalam kerajaan.”

Ia juga menuntut Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan agar isu-isu yang membelit wilayah itu, antaranya perumahan dan lalu lintas, dapat ditangani dengan punca kuasa dan peruntukan yang luas.

“Ditambah dengan kesibukan perdana menteri yang juga merupakan menteri kewangan dan selaku menteri wilayah persekutuan ‘de facto’, tidak mampu menumpukan perhatiannya dengan masalah, isu dan dasar buat Wilayah Persekutuan,” kata Muszaffar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.