Lantang bukan bererti ‘tak sebulu’ dengan presiden, jawab Pemuda Umno

Lantang bukan bererti ‘tak sebulu’ dengan presiden, jawab Pemuda Umno

Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh nafi andaian bahawa sayap Umno itu tidak sebulu dengan Presiden Zahid Hamidi.

Sikap ‘keras’ ketika memberi pandangan tidak bermakna ada pergeseran antara Pemuda Umno dan Presiden Zahid Hamidi, kata Akmal Saleh.
KUALA LUMPUR:
Lantang bukan bererti tiada kesepakatan antara Pemuda Umno dengan Presiden Zahid Hamidi, kata ketuanya, Dr Akmal Saleh.

Akmal menafikan andaian bahawa Pemuda dan Zahid tidak sehaluan (sebulu) susulan kelantangan pemimpin-pemimpin sayap itu pada perhimpunan agung Umno 2023 sejak Rabu lalu, terutama berkenaan DAP.

Katanya, sikap ‘keras’ ketika memberikan pandangan “tidak bermakna ada pergeseran antara kami dan presiden”.

“Kami hanya membawa suara akar umbi dan kami tetap menghormati institusi presiden,” katanya pada sidang media di tepian PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur petang tadi.

Ia juga menafikan desas-desus bahawa Pemuda menunjukkan ketidakpuasan hati secara terang-terangan dengan tidak berdiri atau melakukan sabotaj ketika Zahid mengunjungi sidang Pemuda.

Akmal juga menepis dakwaan bahawa Pemuda memboikot Zahid.

“Tak betul! Bila presiden datang kami bangun dan tepuk tangan untuk presiden, malah saya sendiri duduk di bawah meraikan kehadiran presiden bersama kita,” jawab Akmal kepada pertanyaan pemberita.

Keberanian Akmal mendapat pujian bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman, yang masing-masing digantung keahlian enam tahun.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menerusi podcast Keluar Sekejap menyifatkan Akmal sebagai “berani” dan “bermaruah” manakala Tajuddin berkata beliau antara pewaris yang Umno perlukan.

“Pujian itu bermakna Tajuddin, Khairy masih sayangkan Umno. Semalam saya dengar video Khairy, dia juga kata dia masih sayangkan Umno,” katanya.

“Khairy masih ada harapan, Tajuddin pun masih ada harapan dalam Umno. Sebab itu saya tegaskan sebelum ini, ini masanya semua yang sayangkan Umno duduk semeja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.