Perkara lepas biarlah ia berlalu, Ronnie Liu beritahu Umno

Perkara lepas biarlah ia berlalu, Ronnie Liu beritahu Umno

Pemimpin DAP itu berkata hanya sia-sia untuk berbalah siapa benar dan siapa salah pada waktu itu.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu berkata pemimpin BN dan PH seharusnya melihat sama sendiri sebagai pesaing bukannya musuh.
PETALING JAYA:
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu menggesa Umno melupakan kisah silam dan bekerjasama demi kepentingan negara.

“Perkara lepas biarlah ia berlalu. Kini kita semua rakan dalam kerajaan perpaduan, mesti ada perpaduan dalam kalangan pemimpin parti dan akar umbi,” katanya kepada FMT.

Adun Sungai Pelek itu berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) boleh bekerja keras bersama-sama untuk menghentikan kumpulan pentaksub agama dan perkauman.

“Ini yang rakyat Malaysia mahu ketika ini,” katanya.

Katanya, pemimpin parti seharusnya melihat sama sendiri sebagai pesaing bukannya musuh.

“Dahulu, DAP dan Umno di kem berlainan, dan mempunyai perbezaan ideologi, pendapat dan polisi. Itu adalah perkara biasa dalam persekitaran demokratik.

“Kini hanya sia-sia untuk berbalah siapa yang benar dan siapa yang salah pada waktu itu,” katanya.

Liu juga berkata, pilihan raya negeri akan datang akan menjadi peluang untuk PH dan BN bagi menyakinkan rakyat bahawa kedua-dua kem boleh bekerjasama untuk rakyat.

“Kita patut dahulukan rakyat berbanding kepentingan parti,” katanya.

Terdahulu hari ini, Pemuda Umno mendesak DAP membuat permohonan maaf terbuka atas semua tohmahan terhadap parti itu sebelum ini.

Ketua Pemudanya Dr Akmal Saleh berkata permohonan itu perlu dibuat jika DAP mahu melembutkan hati orang Melayu dan Umno supaya memilih mereka pada PRN akan datang.

“DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, cakap-cakap DAP anti-Melayu, anti-Islam, rasis, komunis ‘centric’, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.

“Kena jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita. Kalau betul-betul suci menjalinkan tali persahabatan, kita mohon DAP tarik balik segala tohmahan kepada Umno dulu. Tiada selindung lagi, kita kena jujur…inilah luahan hati akar umbi,” katanya.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi memberi respon dengan berkata tiada keperluan DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kerana parti itu sudah memohon maaf dalam sebahagian syarat membentuk kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.