Isu kalimah ‘Allah’, Ahli Parlimen PN mohon menghadap raja

Isu kalimah ‘Allah’, Ahli Parlimen PN mohon menghadap raja

Keputusan itu dibuat selepas Speaker Dewan Rakyat menolak usul persendirian Ahli Parlimen Jasin.

Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail bercakap dalam sidang media bersama (dari kiri) Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim, Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan memohon untuk menghadap raja-raja Melayu selepas usul persendirian untuk membincangkan isu kalimah “Allah” ditolak di Dewan Rakyat.

Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata beliau kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menolak usul Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran Pindaan Akta 388 berkait kalimah “Allah” daripada dibahas.

“Saya berharap, saya bersama beberapa Ahli Parlimen PN akan mendapat perkenan untuk menghadap Sultan Selangor dan juga Majlis Raja-Raja untuk menerangkan mengenai usul persendirian ini,” kata Zulkifli di sidang media di Parlimen.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata Ahli Parlimen PN berhasrat menerangkan kepada Raja Melayu bahawa pindaan pada Akta Tafsiran 1948 dan 1967 antara cara bagi memastikan kalimah “Allah” tidak disalah guna.

“Sesiapa saja boleh guna, tapi biarlah dengan tafsiran yang betul. Apa yang kami bimbang kalimah itu boleh disalah tafsir oleh pihak tertentu dan ini boleh menyebabkan kekeliruan,” katanya.

Hamzah berkata kalau semua pihak faham kalimah “Allah” mengikut tafsiran yang ada dalam undang-undang, mudah untuk diterima pakai semua pihak dalam negara

Pada 2 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Zulkifli mengemukakan usul persendirian bagi mencadangkan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu kalimah “Allah”.

Hari ini, Zulkifli berkata beliau menerima jawapan dari Speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan usul itu ditolak.

Timbalan Speaker Alice Lau memberitahu Zulkifli sekiranya tidak berpuas hati, beliau boleh mengemukakan rayuan.

Zulkifli berkata pindaan pada Akta Tafsiran bukan satu “pilihan” tetapi sesuatu yang perlu dilakukan untuk melindungi kepercayaan orang Islam di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.