Anak saudara bekas Ahli Parlimen bebas tuduhan rasuah

Anak saudara bekas Ahli Parlimen bebas tuduhan rasuah

Hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan mengesahkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi dikemukakan.

Naveen Kularasa Rasiah dituduh meminta dan menerima rasuah untuk ‘menutup kes’ penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing membabitkan sebuah syarikat.
KUALA LUMPUR:
Anak saudara bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, dan bekas pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah RM65,000 daripada warga asing.

Naveen Kularasa Rasiah dan Nico Kam didakwa meminta dan menerima rasuah untuk “menutup kes” penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing membabitkan sebuah syarikat.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas menerima permohonan peguam M Puravelan, yang mewakili Naveen, dan Ramesh Sivakumar yang mewakili Kam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhalis Mat memaklumkan Azura bahawa Jabatan Peguam Negara setuju menarik balik tuduhan selepas menerima representasi dikemukakan bagi pihak kedua-dua tertuduh.

“Bagaimanapun, kami memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA),” katanya.

Keputusan DNAA akan membenarkan pihak pendakwaan meneruskan kes terhadap kedua-dua tertuduh pada bila-bila masa pada masa hadapan.

Ramesh membantah dengan berkata, DNAA akan meletakkan kedua-dua tertuduh dalam keadaan tidak pasti tentang nasib mereka. Beliau menegaskan bahawa kesalahan yang didakwa dilakukan oleh mereka berlaku pada 2017, tetapi tuduhan hanya dikenakan pada awal tahun lepas.

“Mereka tidak boleh terus dikaitkan dengan tuduhan-tuduhan tersebut, jika pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes,” katanya.

Puravelan berkata, perkara ini mesti dimuktamadkan, dan mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk memutuskan sama ada anak guamnya akan dibebaskan.

Hakim membenarkan pelepasan mutlak selepas Norhalis menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

Azura turut memerintahkan supaya jaminan RM10,000 yang dibayar oleh penjamin kedua-dua tertuduh dikembalikan, dan tarikh perbicaraan yang dijadualkan minggu depan dikosongkan.

Pada 24 Jan tahun lepas, kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 16(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Naveen dan Kam didakwa atas tiga tuduhan meminta rasuah berjumlah RM130,000 daripada seorang ahli perniagaan Bangladesh yang didakwa membawa pekerja asing dengan tauliah profesional palsu ke negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.