
Permintaan Wong itu dibuat selepas beliau bertemu dengan tujuh persatuan penduduk yang terjejas pada Sabtu lepas.
“Semasa pertemuan itu, penduduk memberikan kemas kini kepada saya, tentang borang tinjauan (impak sosial) yang diberikan kepada mereka, dan kami membincangkan masalah yang mungkin timbul, seperti kebolehcapaian dan ketersediaan air di kawasan itu,” katanya kepada FMT.
Wong juga berkata, beliau telah meminta ketua perancangan bandar MPS Noriza Bahari untuk memberikan maklumat kepada penduduk mengenai projek itu.
“Noriza berkata, tiada (perancangan) yang diserahkan untuk sebarang pembangunan komersial 3000 unit setakat ini,” katanya.
Di sebalik jaminan itu, Wong berkata, sesi taklimat mesti diadakan untuk meredakan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Sementara itu, Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo mengakui penduduk mempunyai sebab kukuh untuk bimbang, dan beliau memberikan jaminan bahawa perkara itu akan ditangani segera.
“Saya telah meminta maklumat lanjut dan maklum balas daripada MPS serta cadangan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Saya harap boleh dapatkannya segera sebelum bertemu semua pihak (yang berkenaan),” katanya ketika dihubungi.
Selasa lepas, FMT melaporkan kebimbangan dalam kalangan tujuh persatuan penduduk bahawa projek pangsapuri servis 3,000 unit yang dicadangkan boleh memburukkan lagi kesesakan lalu lintas bagi lebih 10,000 penduduk di Sierramas dan Valencia.
Persatuan penduduk telah mengemukakan surat bantahan bersama kepada MPS pada 14 Feb, tetapi tidak mendapat maklum balas walaupun telah menghantar beberapa peringatan.
FMT telah cuba menghubungi MPS untuk mendapatkan komen.