
Puad Zarkashi berkata, teguran itu perlu dibuat agar menjadikan kerajaan perpaduan lebih kuat.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menyarankan parti itu membuat kritikan melalui saluran dalaman.
“Saya setuju dengan pandangan ini, tetapi pada saya Umno perlu ada pendirian iaitu jika berlaku perkara-perkara yang melampaui batas di mana ada di kalangan menteri tidak cekap dan tidak pandai mengurus…takkan kita nak biarkan.
“Mereka juga perlu ditegur untuk memastikan kerajaan perpaduan kuat,” katanya ketika ditemui selepas ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Dalam pada itu, Puad berkata, saranan Mohamad supaya kritikan dibuat secara dalaman tidak menyekat kebebasan dalam Umno.
“Tetapi itu cabaran media sosial dan perlu (diurus) dengan cepat dan pantas,” katanya.
Terdahulu, Mohamad berkata, segala kritikan atau sindiran di media sosial wajar dihentikan.
Pada 31 Mei, Puad mempersoalkan langkah signifikan diambil Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk memulihkan ekonomi negara.
“Mana dia dasar yang lebih baik daripada BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia),” soalnya di Facebook.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Puad supaya tidak menyerang parti atau pemimpin lain dalam kerajaan perpaduan kerana parti terikat dengan tanggungjawab kolektif.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi menyahut cabaran Mohamad supaya sayap Pemuda dan Puteri menganjurkan Kongres Melayu.
Beliau berkata, mungkin kongres itu boleh dinamakan Kongres Melayu anak muda dan akan membincangkannya selepas perhimpunan agung.
“Kita akan duduk sama-sama dengan Pemuda bincang perkara ini,” katanya.
“Sebenarnya Umno tidak lari daripada perjuangan asal, tetap perjuangkan untuk orang Melayu.”