Rugi lebih RM132,000, wanita ditipu beli kereta terpakai

Rugi lebih RM132,000, wanita ditipu beli kereta terpakai

Polis berkata mangsa ditipu membeli kereta terpakai yang tidak wujud yang dijual di laman Facebook.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita itu membuat pembayaran sebanyak 25 kali melibatkan enam akaun bank sebelum menyedari ditipu suspek yang mengaku sebagai jurujual kereta. (Bernama pic)
IPOH:
Seorang wanita kerugian RM132,860 apabila terpedaya selepas mahu membeli kereta terpakai yang tidak wujud yang dijual di laman Facebook, 1 Jun lalu.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa pada mulanya terlihat sebuah iklan menjual kereta terpakai di Facebook dan menghubungi pemilik akaun tersebut.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui whatsapp dengan memperkenalkan diri sebagai penjual kereta dan menghantar gambar kad pengenalan untuk menyakinkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusri berkata mangsa kemudian diminta membuat bayaran melalui perbankan dalam talian ke akaun bank yang diberikan suspek dan diperdaya tidak boleh membatalkan pembelian atas alasan insurans telah didaftarkan atas nama mangsa, jika terjadi apa-apa mangsa akan dipertanggungjawabkan.

Katanya, mangsa membuat bayaran keseluruhan 25 kali melibatkan enam akaun bank, melibatkan jumlah keseluruhan RM132,860 sebelum tersedar ditipu apabila diberitahu rakannya ketika mahu meminjam wang dari rakannya itu.

“Bapa mangsa kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.