Jual durian, jangan tayang badan, Jheat nasihat lelaki ‘sado’

Jual durian, jangan tayang badan, Jheat nasihat lelaki ‘sado’

Jheat berkata tindakan lelaki itu tidak berbaju di tempat awam adalah satu kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

Tangkap layar video tular seorang lelaki berbadan sasa tak berbaju ketika menjual durian di Seberang Takir, Terengganu.
PETALING JAYA:
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) menasihatkan seorang lelaki berbadan sasa yang tidak memakai baju ketika menjual durian hingga tular di media sosial supaya tidak lagi berbuat demikian.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Bahagian Dakwah) Jheat, Zahari Sulong berkata, tindakan lelaki itu menayang badan di khalayak awam hingga menimbulkan ghairah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 35, Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu.

“Bagaimanapun, setakat ini Jheat mengambil pendekatan memberikan nasihat dan belum mengambil sebarang tindakan tegas berhubung perkara itu.

“Jheat juga berpandangan apa yang ditularkan itu (video) tidak sepatutnya berlaku bukan sahaja di Terengganu bahkan di seluruh tempat kerana ia mengundang kepada fitnah,” katanya menurut Sinar Harian.

Zahari berkata, walaupun lelaki itu tidak mendedahkan aurat kerana masih memakai seluar tetapi peniaga itu sepatutnya menjaga imej diri bagi mengelak daripada fitnah sekali gus mendapatkan keberkatan dalam urusan perniagaan.

“Betul lah kalau dia kata dah tutup aurat dengan memakai seluar, tetapi sepatutnya semua kita kena jaga. Kena tutup aurat ‘comel’, ‘molek’ sebab kita mahu jaga imej dan maruah diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, tular di TikTok dan Instagram gambar dan rakaman video seorang duda berbadan sasa yang tidak berbaju ketika menjual durian di Kampung Baru, Seberang Takir di Jambatan Angkat di Terengganu.

Video berkenaan mendapat jumlah tontonan tinggi terutama kaum wanita yang tertarik dengan bentuk badan lelaki tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.