Hindar sikap buruk, ketua polis daerah diberitahu

Hindar sikap buruk, ketua polis daerah diberitahu

Ketua polis daerah dinasihatkan menghindari sikap buruk yang menonjolkan sifat angkuh, sebaliknya menerapkan nilai murni dan memberi keutamaan kepada pelanggan.

Acryl Sani Abdullah Sani berkata cabaran paling getir adalah mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap polis yang semakin dilanda pelbagai bentuk krisis imej.
KUALA LUMPUR:
Ketua polis daerah diseru berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memberi keutamaan kepada memudahkan urusan dan mengurangkan birokrasi.

Ia disuarakan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dalam perhimpunan bulanan ketua polis negara anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman.

Acryl Sani menasihati semua ketua polis daerah menghindari sikap buruk yang menonjolkan sifat angkuh, sebaliknya menerapkan nilai murni serta memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan, sama ada orang ramai atau warga polis.

“Cabaran yang paling getir ketika ini adalah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap polis yang semakin hari semakin dilanda pelbagai bentuk krisis imej yang tidak menyenangkan.

“Elemen kepantasan, ketepatan dan ketelusan dalam perkhidmatan kepolisan khususnya dalam siasatan kes, amatlah dituntut oleh masyarakat ketika ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang ketua polis daerah di Pahang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta.

Beliau berkata, banyak yang perlu diperbaiki dalam proses siasatan dan kegagalan pegawai penyiasat melaporkan perkembangan kes akan menyebabkan pengadu membuat aduan kepada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik dan media, selain menggunakan media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.