Menyamar polis kejar kenderaan, 3 lelaki diburu

Menyamar polis kejar kenderaan, 3 lelaki diburu

Hari ini pemilik akaun Facebook 'Freeman Gan WT' memuat naik video dirinya dikejar sebuah kereta kononnya anggota polis.

Polis mengesan tiga lelaki dipercayai menyamar anggota pasukan keselamatan itu yang mengejar sebuah kenderaan di KM41.5 Lebuhraya Utara-Selatan.
JOHOR BAHRU:
Polis mengesan tiga lelaki dipercayai menyamar anggota pasukan keselamatan itu yang mengejar sebuah kenderaan di KM41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai seperti ditularkan di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Kulai, Yusof Othman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung video berdurasi 27 saat itu daripada seorang anggota polis pada 1.52 tengah hari.

“Satu video dimuat naik oleh seorang pemilik akaun ‘Freeman Gan WT’ di laman Facebook memaparkan dirinya dikejar sebuah kereta yang menyamar sebagai pasukan polis semasa mangsa dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya.

“Suspek dipercayai tiga lelaki bangsa tidak pasti memakai pelitup muka dan menggunakan lampu beacon biru seakan pasukan polis cuba menahan mangsa dengan membuat isyarat tangan agar mangsa memberhentikan kenderaan yang dipandu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa belum hadir ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian itu.

Yusof berkata, polis masih mengesan pemilik kedua-dua kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke IPD Kulai atau menghubungi talian 07 6637222 atau pegawai penyiasat di talian 010 7647789.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.