Gelaran ‘Tan Sri’ bermakna buat keluarga, bonda, kata Nik Omar

Gelaran ‘Tan Sri’ bermakna buat keluarga, bonda, kata Nik Omar

Anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata gelaran 'Tan Sri' dianugerahkan sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong adalah penghormatan besar.

Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 2015, merupakan menteri besar Kelantan dari 1990 hingga 2013. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penganugerahan yang membawa kepada gelaran “Tan Sri” buat bekas mursyidul am PAS itu adalah satu penghormatan besar.

Anaknya, Nik Omar Nik Aziz, berkata walaupun anugerah itu diberikan ketika ayahandanya sudah tiada, ia amat bermakna terutamanya bagi bondanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

“Alhamdulillah, walaupun ayahanda tiada bersama, penghargaan itu dirasai bonda.

“Ia juga menunjukkan jasa ayahanda Tok Guru sentiasa dihargai, junjung kasih Tuanku,” katanya kepada FMT sambil berterima kasih dengan anugerah diberikan.

Terdahulu, Veteran DAP Lim Kit Siang dan Nik Aziz antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Nik Aziz dan Lim dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”. Mereka antara 26 individu menerima anugerah itu tahun ini.

Nik Aziz, yang meninggal dunia pada 2015, turut berkhidmat sebagai menteri besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.

Beliau juga pernah menerajui PAS dengan menjawat jawatan mursyidul am.

Turut dianugerahkan PSM, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul serta dua bekas menteri persekutuan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anifah Aman.

Wan Junaidi, dari Sarawak ialah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), manakala Anifah merupakan menteri luar dari 2009 hingga 2018. Anifah, dari Sabah, kini senator di Dewan Negara.

Dalam pada itu, Lim berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan tahniah kepadanya atas penganugerahan tersebut.

“Saya lebih suka orang panggil saya Kit sahaja,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.