Bayar gaji ikut pengalaman dan kemahiran juga, kerajaan diberitahu

Bayar gaji ikut pengalaman dan kemahiran juga, kerajaan diberitahu

Kerajaan mempertimbangkan gaji lebih tinggi untuk pekerja bergaji minimum berkemahiran dan berpengalaman namun majikan dan pekerja bimbang mungkin ada 'kesukaran'.

MTUC berkata model gaji progresif (PWM) akan memberi manfaat kepada pekerja berkemahiran rendah seperti mereka dalam industri perhotelan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Membayar pekerja bergaji minimum melebihi apa yang ditetapkan undang-undang, walaupun seseorang mempunyai kemahiran dan pengalaman diperlukan, adalah konsep baharu di Malaysia.

Dikenali sebagai model gaji progresif (PWM), ia mentakrifkan skala gaji berdasarkan kemahiran dan pengalaman. Ia melibatkan pemberian gaji permulaan kepada pekerja mahir dan berpengalaman melebihi gaji minimum RM1,500 di Malaysia.

Seorang ahli akademik di Singapura, di mana PWM telah wujud sejak sekian lama, menyifatkan ia sebagai model “gaji minimum tambahan”.

Kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan PWM, telah menerima reaksi berbeza daripada kumpulan majikan dan pekerja.

Bagi pekerja, kejelasan adalah kunci. Ini penting untuk memastikan majikan mematuhi prasyarat yang dipersetujui terutamanya dari segi gaji, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Effendy Abdul Ghani kepada FMT Business.

Majikan pula bimbang ia akan memberi kesan negatif kepada perniagaan jika tidak dilaksanakan dengan betul.

Effendy berkata bagi pekerja itu, ia penting untuk mengetahui bagaimana kenaikan tangga gajinya dinyatakan dengan jelas.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa terdapat langkah-langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang cekap,” katanya.

Effendy berkata, PWM boleh memberi impak positif yang besar. “Dengan memastikan rakyat dibayar gaji yang setimpal dengan kemampuan mereka, jurang pendapatan dapat dikurangkan dan kadar kemiskinan dikurangkan,” katanya.

“Setiap kenaikan tangga gaji harus sepadan dengan tahap pengetahuan dan pengalaman yang lebih tinggi. Ini akan memastikan laluan yang jelas untuk kemajuan profesional,” katanya.

Selain itu katanya, proses kenaikan pangkat seseorang pekerja dari satu peringkat ke peringkat seterusnya perlu sentiasa dikemas kini.

Manakala Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng pula berkata PWM boleh memberi manfaat dalam beberapa cara.

Katanya, PWM boleh dilaksanakan selagi majikan tidak ditekan untuk menaikkan gaji minimum.

“Kenaikan selanjutnya dalam gaji minimum dalam jangka pendek (lima tahun akan datang) akan sangat mengganggu perniagaan dan ekonomi kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.