Iktiraf Hari Gawai cuti umum, cadang timbalan menteri

Iktiraf Hari Gawai cuti umum, cadang timbalan menteri

Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Wilson Ugak Kumbong berkata ia juga sebagai penghormatan kepada masyarakat Dayak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Wilson Ugak Kumbong, mencadangkan cuti umum di seluruh negara sempena Hari Gawai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang timbalan menteri mencadangkan Hari Gawai diiktiraf sebagai cuti umum di seluruh negara sebagai penghormatan kepada masyarakat Dayak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Wilson Ugak Kumbong, berkata langkah itu selaras konsep kerajaan perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau berharap cadangan itu dapat dibawa ke Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan dengan tujuan membolehkan seluruh rakyat Malaysia merayakan Hari Gawai bersama.

“Kalau Hari Raya dapat cuti, Tahun Baharu Cina dapat cuti dan perayaan lain juga cuti, apa salahnya Gawai kita (juga) sama cuti supaya dalam kerajaan Malaysia Madani seluruh rakyat dapat merasai perayaan ini,” katanya menurut Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di kediamannya di Pearl Garden, Jalan Sebiew, Bintulu.

Katanya, ada suku kaum Dayak yang tinggal dan bekerja di Semenanjung tidak dapat pulang bercuti, sekurang-kurangnya mereka dapat meraikan perayaan itu bersama rakan lain di sini.

Beliau memohon cadangan itu dipertimbangkan kerajaan diketuai Anwar dengan mengambil kira cuti sehari sebagai perayaan Hari Gawai pada masa akan datang.

Pada masa sama katanya, ia juga memberi makna sebagai penghormatan kepada kaum Dayak dalam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.