
Ketua Polis Seberang Perai Utara Mohd Asri Shafie berkata, tiga lelaki berusia 27 hingga 49 tahun itu ditahan secara berasingan di sini, di Seberang Jaya dan Butterworth, serta Kuala Kangsar, Perak semalam.
“Dalam kejadian 7.45 pagi semalam itu, mangsa yang memandu Perodua Axia berhenti di lampu isyarat berkenaan sebelum tiba-tiba didatangi tiga lelaki yang bertindak menariknya keluar (dari kereta). Suspek kemudiannya membawa lari kereta itu.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kerana ibu lelaki yang memandu kereta tersebut gagal membayar wang sebanyak RM100,000 yang dipinjamnya daripada seorang lelaki pada 2020,” katanya.
Katanya, ibu mangsa bersetuju menyerahkan Perodua Axia itu melalui satu perjanjian bertulis. Ekoran kegagalan wanita tersebut menjelaskan pinjaman, suspek merampas kenderaan berkenaan, tambahnya.
Asri berkata, berdasarkan siasatan lanjut, pemberi pinjaman telah mengupah penarik kereta untuk mengambil Perodua Axia tersebut daripada mangsa.
Ekoran penahanan tiga lelaki itu, katanya, polis berjaya menemukan semula kereta tersebut dan pihaknya turut merampas pakaian yang dipakai tiga suspek berkenaan semasa melakukan jenayah itu.
“Semasa ditahan, ketiga-tiga suspek berada bawah pengaruh dadah dan polis kini giat mengesan beberapa lagi lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu,” katanya.
Beliau berkata, tiga lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkawan tanpa senjata.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan tiga lelaki menarik keluar pemandu sebuah kereta sebelum melarikan kereta tersebut di persimpangan lampu isyarat.