
SPRM mengemukakan suspek di hadapan majistret di Johor Bahru pada 16 Mei untuk perintah reman tujuh hari dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memudahkan siasatan.
Bagaimanapun, majistret menolak permohonan itu atas alasan beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini bahawa agensi antirasuah itu mesti bergantung pada prosedur reman yang ditetapkan dalam Seksyen 49 Akta SPRM 2009, bukannya yang terkandung dalam Kanun Prosedur Jenayah.
Suspek didakwa menggunakan dokumen palsu untuk menuntut sejumlah wang yang nilanya tidak didedahkan daripada Perkeso semasa tempoh sekatan Covid-19.
Tuntutan itu dikatakan dibuat bawah program PenjanaKerjaya bertujuan membantu pekerja yang pendapatannya terjejas akibat sekatan Covid-19.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu FMT, permohonan itu akan difailkan dalam masa terdekat, namun beliau enggan mengulas lanjut.
FMT difahamkan keputusan Mahkamah Tinggi itu menghalang siasatan SPRM.
Dalam penghakiman bertarikh 11 Mei, Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Nor, yang bersidang di Mahkamah Tinggi Temerloh berkata, Seksyen 49 Akta SPRM memberikan suruhanjaya itu kuasa khusus yang mesti digunakannya semasa menjalankan siasatan.
Menggunakan kuasa menyemak, Roslan mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan terhadap enam anggota polis, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, berhubung kesalahan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000.
Dalam penghakimannya setebal 43 muka surat, Roslan berkata, Seksyen 49, apabila dibaca keseluruhannya, hanya membenarkan tangkapan dibuat pada penghujung siasatan.
Katanya, walaupun Akta SPRM membenarkan seseorang ditangkap, suspek mesti dibebaskan dengan jaminan atau bon jika siasatan tidak lengkap.
Bagaimanapun, suspek boleh ditahan semula tanpa waran sekiranya syarat ikat jamin dilanggar.
Pesuruhjaya kehakiman juga berkata, SPRM boleh menahan suspek sehingga 24 jam dan mesti mendapatkan perintah reman bawah Seksyen 49(4) Akta SPRM untuk menahan suspek lebih lama.
Dalam siasatan jenayah biasa, pihak berkuasa penyiasat akan memohon kepada majistret bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk melanjutkan tempoh reman suspek selama tujuh hingga 14 hari.
SPRM telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dengan disertakan sijil perakuan segera. Pengurusan kes telah dijadualkan pada 21 Julai sementara menunggu penyediaan rekod rayuan oleh Mahkamah Tinggi.