
Abd Rahman Shah Abdullah, lebih dikenali sebagai Wak Apuk, berkata mereka mengemukakan permohonan itu pada 2009 dan beberapa peringatan dihantar kepada Jakoa Selangor dan ibu pejabat jabatan terbabit sejak itu.
“Lim Teck Wyn (dari Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam, SACF) memperkenalkan seorang peguam kepada kami dan sudah menemui peguam itu berhubung tindakan kami,” kata Wak Apuk, yang mempengerusikan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung itu.
“Tetapi, baru-baru ini Jakoa menelefon untuk memaklumkan kerajaan Selangor akan meneliti permohonan kami, jadi kami memutuskan untuk menangguhkan tindakan undang-undang.”
Beliau berharap proses pewartaan akan selesai tahun ini, dan jika gagal, mereka mungkin terpaksa mengambil tindakan undang-undang.
Lim dari SACF berkata, hasrat Jakoa meneruskan permohonan pewartaan sangat dialu-alukan.

“Saya berharap Jakoa akan turut mempertimbangkan gambaran keseluruhan dan mencapai kata sepakat dengan Jabatan Perhutanan untuk membenarkan Orang Asli terus menggunakan kawasan itu, walaupun di dalam kawasan hutan simpan,” katanya.
Pewartaan ‘keutamaan utama’
Kampung Orang Asli Air Kuning didiami 72 keluarga suku Temuan, dengan sebahagiannya menghuni kawasan itu selama sembilan generasi.
Wak Apuk berkata, kini tinggal kira-kira 46.2 ekar tanah adat.
“Pada 2001, pemaju mengambil 272 ekar tanah kami dan menjadikannya kawasan perumahan bandar, bersetuju membina 30 banglo setingkat dan 53 unit pangsapuri untuk kami.”
Beliau berkata, banglo sudah siap, tetapi pembinaan pangsapuri hanya dimulakan baru-baru ini.
Walaupun pembangunan perumahan itu siap, katanya, sebahagian penduduk kampung mungkin kekal di kawasan sedia ada kerana hubungan mendalam dengan tanah itu.
“Kami berasal dari sini, jadi kami akan tinggal di sini. Kami tidak akan berganjak. Sebagai Orang Asli, kami biasanya tidak keluar dari tempat asal,” katanya sambil menambah kubur nenek moyang mereka juga terletak di sekitar kampung.

Justeru, katanya, pewartaan itu penting kerana ia akan memberi akses kepada kemudahan asas seperti air bersih dan elektrik.
Beliau berkata, penduduk kampung menggali telaga untuk mendapatkan air dan menggunakan panel solar dipasang sebuah NGO sebelum ini bagi menjana elektrik, walaupun beberapa panel terbabit tidak lagi berfungsi.
Justeru, Wak Apuk berkata, pewartaan itu akan melindungi tanah adat mereka daripada diceroboh pemaju kelak.
“Apabila mereka mengambil tanah kami, kami Orang Asli menghadapi pelbagai masalah, termasuk kejutan budaya (akibat pemindahan paksa).
“Generasi Orang Asli di sini tidak pernah tinggal di kawasan bandar. Mereka tidak akan biasa dengan konsep membayar cukai tanah dan cukai taksiran, dan sebahagian besar daripada mereka pasti tidak mampu membuat bayaran itu.”
FMT telah menghubungi ibu pejabat Jakoa dan Jakoa Selangor untuk mendapatkan ulasan.