
Kedutaan China dalam kenyataan, memberitahu kapal yang dirampas itu dioperasikan oleh sebuah syarikat Malaysia.
“Kami berharap kerajaan Malaysia menangani kes ini mengikut undang-undang, dan melindungi keselamatan, hak undang-undang dan kepentingan rakyat China yang ditahan,” kata kenyataan itu.
Kedutaan China juga mahu pihak berkuasa melaporkan perkembangan siasatan berkenaan.
Pada Isnin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui sejumlah peluru meriam dipercayai dari era Perang Dunia Kedua dalam sebuah kapal pengangkut China yang ditahan, pada hujung minggu lalu.
Kapal yang berdaftar di Fuzhou, China, dan membawa seramai 32 kru itu ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor.
Peluru meriam itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rampasan sejumlah bahan letupan dari era Perang Dunia Kedua oleh polis di sebuah jeti di Johor, pada minggu lalu.
Pihak berkuasa percaya, peluru meriam itu mungkin dicuri dari kapal perang HMS Prince of Wales. Jabatan Warisan Negara dan beberapa agensi kini bekerjasama mengenalpasti asal usul peluru tersebut.