Kerajaan akan letak had semakan tarif air, kata Nik Nazmi

Kerajaan akan letak had semakan tarif air, kata Nik Nazmi

Beliau berkata syarikat air di negeri masing-masing akan menentukan kadar dikehendaki, namun perlu di bawah kadar maksimum.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ada negeri masih mengekalkan tarif lama yang tidak pernah disemak lebih 20 tahun.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan menetapkan had maksimum bagi semakan semula tarif air, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, terdapat permintaan daripada dua ke tiga negeri untuk meningkatkan tarif air kepada pengguna domestik demi kemampanan kewangan.

“Jadi, kami akan melihat mekanisme penetapan tarif dan kemudian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menetapkan kadar maksimum,” katanya pada satu majlis.

Nik Nazmi berkata, terpulang kepada syarikat pengendali air di negeri masing-masing menentukan kadarnya, namun ia perlu di bawah kadar maksimum.

Semalam, Nik Nazmi mengumumkan pihak kementerian menimbang semakan tarif air.

Katanya, kerajaan pusat sedar kemampanan kewangan syarikat pengurusan air memainkan peranan penting dalam kualiti sistem penyampaiannya.
Beliau berkata, kementerian juga sedar ada beberapa negeri masih mengekalkan tarif lama yang tidak disemak lebih 20 tahun.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu bersetuju mengekalkan tarif air bagi kategori domestik (premis kediaman) di Semenanjung dan Labuan, susulan kos sara hidup tinggi.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Jun, bersetuju melakukan penyelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik dan kategori khas di Semenanjung dan Labuan, berkuat kuasa 1 Ogos, melibatkan purata peningkatan 25 sen setiap meter padu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.