Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai, dakwa pengarang

Jho Low bawah tahanan rumah di Shanghai, dakwa pengarang

China mengawal Jho dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, menurut Bradley Hope, pengarang bersama 'Billion Dollar Whale'.

Daripada satu aset risikan, Jho Low menjadi liabiliti selepas Najib Razak disingkirkan pada PRU 2018, kata Bradley Hope. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China, menurut pengarang bersama “Billion Dollar Whale”, Bradley Hope.

“China mengawal Jho dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan,” katanya.

Hope berkata, daripada aset risikan, Low kini menjadi liabiliti selepas Najib Razak disingkirkan pada PRU 2018.

Semalam, Al Jazeera melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Low dipercayai “bersembunyi” di Macau.

Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion dana 1MDB. Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

Malam tadi, dilaporkan bahawa sumber SPRM mengesahkan Kee Kok Thiam, bekas pembantu Low yang memaklumkan pihak berkuasa Malaysia tentang keberadaan Low di Macau, telah meninggal dunia.

Kee kembali ke Malaysia pada 3 Mei lepas selepas lima tahun berada di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.