Agihan kerusi PH Selangor untuk PRN 83% selesai

Agihan kerusi PH Selangor untuk PRN 83% selesai

Persetujuan yang dicapai menerusi rundingan termasuk menampilkan muka baharu dan berganding dengan calon lama pada PRN nanti, kata Amirudin Shari.

Pencalonan PH bagi PRN Selangor dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat oleh presiden parti atau jawatankuasa parti masing-masing, kata Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari.
PETALING JAYA:
Pembahagian kerusi melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Selangor menjelang PRN akan datang sudah 83% selesai.

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari berkata, perbincangan berhubung perkara itu berjalan lancar dan hanya belum mendapat kelulusan pimpinan tertinggi.

“Saya boleh katakan di Selangor 83% selesai (pengagihan kerusi), jadi menjelang Jun semasa pembubaran nanti, kita sudah selesai isu pengagihan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Serbaguna Ampang Jaya, hari ini, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, persetujuan yang dicapai termasuk menampilkan muka baharu dan berganding dengan calon lama pada PRN nanti.

Katanya, pencalonan dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat oleh presiden parti atau jawatankuasa parti masing-masing.

“Perbincangan sudah berlaku beberapa kali di peringkat persekutuan dan di Selangor juga berjalan lancar,” kata Amirudin, yang juga menteri besar Selangor.

“Setakat perjanjian, (parti) yang dah menang (kerusi) itu kita akan kekalkan. Sebagaimana saya sebut, kita akan gabungkan muka baharu dan yang lama dan kita akan bincang dengan rakan kongsi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.