Cadangan murni, tapi tak yakin pusat mediasi mampu dilaksana, kata kumpulan agama

Cadangan murni, tapi tak yakin pusat mediasi mampu dilaksana, kata kumpulan agama

Kumpulan antara agama berpendapat Putrajaya perlu mendesak negeri-negeri meminda perundangan membenarkan pertukaran agama secara unilateral.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menganggap cadangan itu mulia, tetapi bimbang pusat mediasi akan menyukarkan pertikaian melibatkan hak penjagaan anak. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Cadangan mewujudkan pusat mediasi bagi menyelesaikan pertikaian penjagaan anak antara pasangan beragama Islam dan bukan Islam dilihat sebagai langkah mulia, namun dibimbangi tidak dapat dilaksanakan secara praktikal, kata sebuah kumpulan antara agama.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) berkata pusat mediasi malah mungkin menyukarkan keadaan dengan menyebabkan penangguhan perbicaraan di mahkamah, selain pertelingkahan seperti itu juga berisiko dipolitikkan.

Perkara itu dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar pada Ahad lalu, untuk proses mediasi tidak formal bagi membolehkan pihak-pihak menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah. Beliau bagaimanapun turut mengakui cadangan itu masih memerlukan kajian lanjut.

MCCBCHST berkata, berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi, “ibu bapa” dalam Perkara 12(4) Perlembagaan merangkumi kedua-dua ibu bapa. Ini bererti kedua-dua ibu bapa perlu bersetuju sebelum seorang anak bawah umur boleh diislamkan.

“Jika kedudukan dari segi perlembagaan ini dipatuhi, tiada konflik yang perlu diselesaikan ibu bapa, sama ada Muslim atau sebaliknya. Jadi tiada keperluan untuk pusat mediasi.

“Masalah timbul kerana undang-undang beberapa negeri menyatakan hanya sama ada ibu atau bapa diperlukan untuk mengislamkan anak, yang jelas bertentangan dengan perlembagaan,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Susulan itu kumpulan berkenaan menegaskan kerajaan persekutuan perlu mendesak negeri-negeri meminda perlembagaan masing-masing sewajarnya.

“Penyelesaiannya mudah saja. Kerajaan telah berulang kali mengatakan akan mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Jadi semua pihak perlu mematuhi perlembagaan dalam isu penjagaan anak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.