Rogol, serang seksual cucu, datuk kena 10 tahun penjara, 14 sebatan

Rogol, serang seksual cucu, datuk kena 10 tahun penjara, 14 sebatan

Tertuduh 68 tahun didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dilakukan ke atas dua cucu tirinya.

Tertuduh didakwa merogol mangsa berusia tujuh tahun dan melakukan amang seksual terhadap adiknya berusia enam tahun, pada Oktober 2022.
PETALING JAYA:
Seorang datuk dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya, Oktober lalu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 68 tahun itu didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan.

Menurut Berita Harian, bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah Kuala Terengganu, antara 2 petang hingga 7 malam, pada Oktober 2022.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuan mangsa yang ketika kejadian berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu, dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan serta dua tahun penjara dan dua sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu dan dua berjalan serentak, manakala hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama satu tahun mengikut Seksyen 27 AKSTKK2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Asaari Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.