
Beliau berkata pengguna kedua-dua rangkaian tidak perlu bimbang tentang kelajuan atau kualiti perkhidmatan, walau apapun rangkaian yang mereka pilih.
Pada 3 Mei, Fahmi berkata Putrajaya bersetuju mengadakan penyedia perkhidmatan 5G kedua. Bagaimanapun, beliau berkata rangkaian kedua hanya akan dilaksanakan selepas 80% liputan di kawasan berpenduduk dicapai oleh Digital Nasional Bhd (DNB).
Beliau menjangkakan rangkaian kedua akan mula beroperasi seawal Januari.
Fahmi beri jaminan pelanggan rangkaian kedua akan menikmati perkhidmatan berkualiti, walaupun semasa prasarana rangkaian sedang dibina.
Ini kerana perjanjian komersial yang akan dilaksanakan antara pengendali kedua-dua rangkaian, dengan pengguna rangkaian kedua menerima liputan 5G menggunakan kemudahan rangkaian pertama.
“Pembinaan rangkaian baharu itu tidak akan menjejaskan kelajuan atau liputan 5G,” katanya.
“Dari segi harga, ia tidak akan lebih mahal di peringkat pemborong bagi setiap gigabit berbanding apa yang ditawarkan ketika ini.”
Fahmi berkata peralihan kepada dwirangkaian bukan semata-mata kerana Putrajaya ingin menghapuskan monopoli dan menggalakkan persaingan.
Ia juga bukti kerajaan tidak mempunyai kepentingan komersial dalam projek itu, sebaliknya hanya mementingkan rakyat mendapat akses internet terbaik, tambah Fahmi.
Beliau berkata pasukan petugas yang dibentuk bagi memastikan liputan rangkaian 5G DNB mencapai 80% di kawasan berpenduduk dan peralihan yang lancar kepada dwirangkaian bukti bahawa kerajaan komited pada tadbir urus baik dan demi kepentingan rakyat.