Disyaki cabul murid Tahun 3 di sekolah, jurugambar direman

Disyaki cabul murid Tahun 3 di sekolah, jurugambar direman

Mangsa mendakwa suspek mencabulnya tiga kali dalam sebuah bilik Sains di sekolahnya pada aktiviti 'petting zoo'.

Seorang jurugambar direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan dakwaan kes cabul murid Tahun 3, kata Timbalan Ketua Polis Sepang Md Noor Aehwan Mohammad.
PETALING JAYA:
Seorang jurugambar direman bagi membantu siasatan susulan disyaki mencabul seorang kanak-kanak lelaki Tahun 3, dalam aktiviti di zoo mini haiwan jinak di sebuah sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi, pada 12 Mei.

Mangsa mendakwa dicabul tiga kali oleh suspek terbabit.

Timbalan Ketua Polis Sepang Md Noor Aehwan Mohammad, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada 26 Mei selepas hadir ke IPD Sepang.

Beliau berkata, suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan, malah kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi pendakwaan.

“Ketika disoal siasat, suspek bagaimanapun tidak mengaku memegang kemaluan kanak-kanak lelaki berkenaan,” katanya menurut Kosmo.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, mangsa dicabul sebanyak tiga kali oleh suspek ketika berada dalam sebuah bilik Sains di sekolahnya pada aktiviti “petting zoo”.

Aehwan berkata, ketika berada di bilik berkenaan, mangsa telah membayar wang RM5 kepada jurugambar (suspek) sebagai bayaran mengambil gambar.

Menurutnya, suspek kemudian berdiri di sisi sebelah kiri mangsa dan memeluk daripada arah belakang sambil menyentuh kemaluan mangsa dari bahagian luar seluar.

“Mangsa telah cuba menepis tangan suspek, namun suspek masih terus menyentuh kemaluan mangsa. Ekoran kejadian itu, bapa mangsa membuat aduan kepada sekolah dan suspek kemudian dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai dakwaan itu.

“Suspek mengaku melakukan kesalahan itu, namun pihak sekolah mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan suspek memasuki kawasan sekolah untuk program lain selepas ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.