‘Cinta tak berbalas’ disyaki punca warga emas dibunuh

‘Cinta tak berbalas’ disyaki punca warga emas dibunuh

Lelaki berusia 45 tahun berjaya diberkas di Jelebu dengan suspek akan didakwa di mahkamah esok.

Polis berkata, kes kematian warga emas itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson, esok.
PETALING JAYA:
Kematian wanita warga emas berusia 67 tahun diklasifikasikan mati mengejut bertukar kepada membunuh susulan penahanan seorang lelaki disyaki suspek kejadian, pada 9 Mei.

Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata suspek berumur 45 tahun itu ditahan di Jelebu, Negeri Sembilan, pada 16 Mei, susulan laporan bedah siasat pasukan perubatan Hospital Port Dickson.

Beliau berkata, siasatan mendapati motif pembunuhan itu adalah disebabkan cinta tidak berbalas.

“Dalam kejadian 12.30 tengah hari, 9 Mei lalu, polis menemui mangsa tidak sedarkan diri dalam bilik di sebuah rumah di Batu 8 Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson.

“Pasukan perubatan Hospital Port Dickson mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian, mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan.

Aidi Sham berkata, bertindak atas maklumat, polis memberkas suspek disyaki terlibat dengan pembunuhan mangsa.

“Suspek lelaki 45 tahun di tahan di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.

Justeru, Aidi Sham berkata, kertas siasatan daripada mati mengejut kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Negeri Sembilan dan sudah mendapat arahan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek akan akan dituduh mengikut Seksyen Seksyen 411 kanun sama,” katanya suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.