
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, berkata tidak mungkin Pejabat Peguam Negara tidak efisien, tambahan Putrajaya sudah bersetuju dengan penubuhan RCI itu pada Januari lalu.
“Apakah wujud halangan dari dalam? Semoga tidak wujud konspirasi dan kedegilan,” kata Puad di Facebook.
Pada 22 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memberitahu Parlimen, RCI Tommy Thomas belum lagi ditubuhkan.
“Perkara ini dalam perincian dan tindakan lanjut oleh pihak BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), JPM (Jabatan Perdana Menteri) sebelum diangkat ke Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen menjawab Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Buku tulisan Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 itu mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk Peguam Negara Idrus Harun, peguam, ahli politik, dan masyarakat awam, sehingga kepada beberapa laporan polis.
Antara lain, Thomas mendakwa dalam bukunya bahawa beliau ada mengadakan perbincangan bersama bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan, dalam melantik ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Justeru, Puad menggesa Jabatan Pendakwaraya dan Jabatan Peguam Negara segera dipisahkan.
“Rakyat tidak mahu Malaysia dilanda ‘terkejut beruk’ 2.0,” katanya.