Janji pulangan hingga 70%, wanita warga emas tipu pelabur ditahan

Janji pulangan hingga 70%, wanita warga emas tipu pelabur ditahan

Suspek turut menawarkan slot saham menjanjikan keuntungan sehingga 100% dalam tempoh 72 jam.

Polis berkata wanita warga emas yang ditahan memiliki rekod berkaitan kes penipuan pelaburan penjualan diesel.
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga emas ditahan kerana disyaki suspek utama penipuan skim pelaburan “Investment HSBC Bank” pada Khamis.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata ia susulan pihaknya menerima dua laporan berhubung pelaburan beroperasi sejak awal tahun ini.

Katanya, siasatan mendapati pelaburan itu menawarkan pulangan 30 hingga 70% daripada modal dikeluarkan.

“Skim pelaburan ini juga menawarkan slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100% dalam tempoh 72 jam.

“Bagaimanapun, selepas mangsa membuat pindahan wang, keuntungan dijanjikan tidak dibayar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek direman lima hari hingga esok.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dua kes penipuan pelaburan penjualan diesel.

“Orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan ini diminta tampil segera membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai skim pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan.

“Maklumat lanjut boleh didapati dari sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.