
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBha), Ganesh Michiel memuji langkah itu “berani” dan permulaan baik ke arah meningkatkan industri pelancongan.
Beliau berkata, industri hospitaliti dan pelancongan terjejas teruk akibat STR persendirian sejak beberapa tahun lalu.
“Kami menyokong penuh kerajaan Pulau Pinang atas langkah ini, dan (tahniah) atas keberanian mereka melakukannya, sebelum dilakukan kerajaan persekutuan,” kata Ganesh.
Beliau berkata, ini akan mengurangkan kadar sewa penginapan jangka panjang memandangkan banyak kediaman kosong tersedia untuk mereka yang mahu tinggal di pulau berkenaan.
Katanya, penyewa berpotensi yang mencari kediaman sebelum ini diketepikan daripada pasaran kerana pemilik hartanah menjadikan unit mereka STR untuk pelancong atau “nomad digital”.
Khamis lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengumumkan larangan ke atas semua bentuk STR, termasuk yang terdapat di Airbnb dan Booking.com, di unit kediaman pulau itu berkuat kuasa serta-merta.
Pengurus Besar Hotel G, Michael Hanratty, berkata langkah besar seterusnya bagi kerajaan negeri ialah bertindak adil dari segi cukai.
Ketika ini, katanya, semua hotel dikehendaki mengutip cukai kerajaan tempatan RM3, ditambah RM10 cukai pelancongan daripada warga asing, tetapi STR dikecualikan daripada levi itu.
“Cukai ini harus dikenakan ke atas penginapan STR juga. Dengan cara itu, barulah adil,” kata pengusaha hotel di Gurney Drive itu.
Hanratty berkata, impak peraturan baharu itu akan dirasai semasa musim perayaan kerana lebih ramai pelancong akan mempertimbangkan untuk menginap di hotel.
“Sebagai contoh, cuti Tahun Baharu Cina adalah perayaan besar untuk kami pada satu ketika. Apabila syarikat seperti Airbnb muncul, terdapat penurunan mendadak. Ia tidak akan berlaku lagi sekarang.”