Mahu tarik 120,000 pelancong, Melaka kerjasama dengan 80 agensi Filipina

Mahu tarik 120,000 pelancong, Melaka kerjasama dengan 80 agensi Filipina

Kerjasama dilaksanakan menerusi kempen TMM 2024 melalui Bahagian Promosi Pelancongan negeri dan Tourism Malaysia pada 21 hingga 26 Mei lepas, kata Exco.

Kempen promosi TMM 2024 menyasarkan menarik 8.4 juta pelancong ke Melaka pada tahun depan. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kerajaan Melaka menjalin kerjasama dengan 80 agensi pelancongan Filipina untuk menarik kedatangan kira-kira 120,000 pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kerjasama itu dilaksanakan menerusi kempen TMM 2024 bawah program Sales Mission melalui Bahagian Promosi Pelancongan negeri dan Tourism Malaysia pada 21 hingga 26 Mei lepas.

“Dalam siri jelajah untuk mempromosikan TMM 2024, kita telah melaksanakan kempen ini di Manila dan Davao, Filipina, bagi memperluas usaha promosi di peringkat rantau Asia Tenggara, melibatkan 20 delegasi dari Melaka termasuk pemain sektor pelancongan.

“Di Manila, kita akan bekerjasama dengan 50 agensi pelancongan, manakala di Davao pula 30 agensi atau pemain industri pelancongan,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Menyemarakkan Seni Budaya Gegau Seni Budaya @ Melaka yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Ali Rustam di Panggung Seri Kompleks, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka di sini.

Abdul Razak berkata, menerusi kerjasama itu, pelbagai pakej pelancongan yang menarik akan ditawarkan pemain industri pelancongan di Melaka kepada agensi pelancongan terlibat bagi menarik pelancong.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kempen promosi TMM 2024 di Asia Tenggara akan diperluas ke Brunei dan Indonesia dalam masa terdekat, selaras dengan fokus kerajaan negeri untuk menarik lebih banyak pelancong dari rantau berkenaan, selain dari negara Eropah dan Timur Tengah.

Langkah ini bagi mencapai sasaran 8.4 juta pelancong pada tahun depan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.