
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, menyifatkan Zahid “menggelupur” kerana bimbang kedudukan Umno dalam kerajaan perpaduan.
Razali mendakwa, “orang tertentu” dimaksudkan Hadi sebelum ini merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya nampak Zahid menggelupur dan gelabah selepas Anwar memberi tawaran kepada PAS. Zahid sudah boleh baca, politik Anwar di mana Umno tidak boleh dipercayai.
“Anwar tahu kerajaan perpaduan ini tidak kuat dan sebab itu ‘sentiasa jemput PAS’,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Zahid meminta Hadi tidak perasan ada pihak akan menawarkan presiden PAS itu menyertai kerajaan.
Zahid merujuk dakwaan Hadi dihubungi “orang tertentu” beberapa kali yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan.
Menjawab dakwaan Hadi, Zahid berkata: “Itu (dakwaan PAS ditawar sertai kerajaan) di luar pengetahuan saya.”
Sementara itu, Razali berkata Umno perlu sedar parti tersebut hanya pelengkap, bukan “tonggak utama” dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, Anwar juga mengetahui jika PAS sertainya, kerajaan perpaduan lebih kukuh.
“Sebab PAS wala’ kepada pemimpin. Tak ada lompat-lompat,” katanya.
Bagaimanapun, Razali berkata beliau yakin PAS tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) secara “senyap-senyap”.
“Sebab Hadi cakap dia takkan pergi sendirian. Kalau nak buat kerajaan kena buat dengan PN. Itu jelas. Walaupun PAS jumpa sesiapa pun, dia akan cakap mewakili PN,” katanya.