Jangan perasan sertai kerajaan, Zahid beritahu Hadi

Jangan perasan sertai kerajaan, Zahid beritahu Hadi

Timbalan perdana menteri itu menasihatkan PAS terus kekal dalam Perikatan Nasional.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak tahu mengenai dakwaan Abdul Hadi Awang ditawarkan menyertai kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi meminta Abdul Hadi Awang tidak perasan ada pihak akan menawarkan presiden PAS itu menyertai kerajaan perpaduan.

Zahid merujuk dakwaan Hadi dihubungi “orang tertentu” beberapa kali yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Walaupun mempersoalkan tawaran itu, Hadi dilaporkan berkata, sepatutnya ia memberi “kelebihan kepada PAS” kerana mempunyai kerusi lebih banyak daripada parti lain.

Menjawab dakwaan Hadi, Zahid berkata: “Itu (dakwaan PAS ditawar sertai kerajaan) di luar pengetahuan saya.”

Presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional itu menasihatkan PAS terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa eloklah mereka (PAS) terus berkawan dengan Bersatu.

“Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia (Hadi),” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Hadi dilaporkan berkata, PAS sepatutnya diberikan peranan di hadapan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.

“Dia nak ajak PAS, tetapi PAS duduk di belakang, bukan di depan. Patutnya bila buat kerajaan, parti lebih besar memimpin. Ini dia nak suruh macam kepala ular, kecil sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun, tetapi tawaran itu mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.