Beli kredit serendah RM7, judi ‘online’ warga asing tumpas

Beli kredit serendah RM7, judi ‘online’ warga asing tumpas

Polis berkata sindiket berjaya meraih antara RM500,000 hingga RM700,000 menerusi pembelian kredit kaki judi.

Polis berkata sindiket perjudian dalam talian itu menyasarkan warga Indonesia. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Polis menumpaskan aktiviti perjudian dalam talian yang menawarkan pembelian kredit serendah RM7 untuk bermain di mana-mana platform aplikasi judi.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata dalam serbuan di sebuah kondominium di Salak Selatan pada Selasa, seramai 11 lelaki warga Indonesia diberkas berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun.

Beliau berkata, sindiket itu akan mencari pelanggan dan menawarkan permainan judi dengan mendaftarkan akaun di laman web disediakan oleh suspek.

“Pemain akan diarahkan membeli kredit yang bermula sebanyak 25,000 rupiah bersamaan dengan RM7 bagi membolehkan mereka bermain judi di mana-mana platform aplikasi judi dalam talian.

“Transaksi kira-kira RM500,000 hingga RM700,000 dikreditkan oleh pemain ke dalam platform perjudian ini,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPD Cheras.

Katanya, sindiket itu menyasarkan mangsa senegara mereka.

Susulan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 253 kes berhubung sindiket judi dalam talian di Cheras.

“Selain itu, polis turut merampas 12 unit monitor, enam unit komputer dan 23 telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan itu,” katanya.

Zam Halim berkata, semua suspek direman empat hari bermula 26 hingga 29 Mei, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.