
Beliau berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan diarah bertindak selepas pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti itu pada 5 petang kelmarin.
“Pada 10.30 malam, kita menemui lokasi berkenaan di lot tanah persendirian dan nampaknya ia masih aktif di situ, namun tiada tangkapan dibuat di lokasi.
“Saya dimaklumkan lot tanah kerajaan juga terlibat, bagaimanapun keluasan sebenar aktiviti itu belum dapat dipastikan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berharap masyarakat akan memberikan maklumat, jika mengesan aktiviti sedemikian yang dijalankan di kawasan agak pedalaman dan sukar dikesan.
Katanya, kerajaan negeri akan terus mengesan aktiviti perlombongan haram seumpama itu dengan kerjasama pentadbiran daerah, manakala pemberi maklumat pula akan mendapat habuan dijanjikan.
Menurutnya, aktiviti perlombongan REE dilihat lebih mudah berbanding aktiviti korek pasir atau kuari kerana ia aktiviti kecil yang mendatangkan hasil lumayan.
“Kita sebenarnya di peringkat pusat sedang mengkaji kesan-kesannya dan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan (REE) masih (dimaklumkan) dalam peringkat akhir.”
Media pada Rabu lalu melaporkan aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi ditemui di Kampung Sikai, Seri Menanti dekat Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, dengan siasatan bersepadu dilancarkan.