
Kereta BMW dinaiki dua beradik berusia 35 dan 37 tahun itu dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menurut Timbalan Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail.
Wan Md Razali berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 5.06 pagi, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.
Mangsa yang maut terperangkap di bahagian penumpang hadapan dan dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Mangsa mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Wan Md Razali, lapor Sinar Harian.
“Manakala adik mangsa (yang) tidak mengalami kecederaan bertindak keluar sendiri (daripada kenderaan) sebelum anggota bomba tiba di lokasi.”
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, kata Wan Md Razali.