Pemain industri ragui undang-undang berkesan banteras ulat tiket

Pemain industri ragui undang-undang berkesan banteras ulat tiket

Terdapat teknologi baharu bagi membanteras kegiatan sedemikian, tetapi kerajaan perlu memberi insentif kepada penganjur untuk melabur, kata Livescape Group.

Coldplay dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Nov ini. (Gambar Instagram Coldplay)
PETALING JAYA:
Penganjur acara dan pesta muzik utama menyuarakan keraguan terhadap cadangan undang-undang baharu dapat membanteras kegiatan ulat tiket.

Livescape Group, antar penganjur acara dan pesta muzik paling berjaya dalam negara berkata, kegiatan meluas ulat tiket menjadikannya sukar ditangani secara berkesan oleh undang-undang.

“Masalah dengan ulat tiket adalah kegiatan ini berlaku di mana-mana, dan walaupun (undang-undang) dilaksanakan, masih ada yang akan mencari jalan mengatasinya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Livescape Group, Iqbal Ameer.

Selasa lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan akta baharu untuk mengawal selia semua aspek pembelian tiket secara besar-besaran, termasuk melarang kegiatan ulat tiket.

Iqbal Ameer.

Katanya, kerajaan akan melihat kepada Amerika Syarikat, Australia dan negara lain yang menggubal undang-undang sebagai tindak balas terhadap isu serupa.

Kenyataan itu menyusul laporan ulat tiket menjual semula tiket konsert kumpulan rock British, Coldplay di Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung November nanti.

Mengulas pengumuman itu, Iqbal berkata, undang-undang dilaksanakan di negara itu “tidak begitu berkesan”.

“Saya ke Australia setiap tahun dan apabila tiket konsert habis dijual, kita masih boleh beli (tiket), tetapi pada harga lebih mahal. Ada pembeli, ada yang menjualnya.”

Beliau berkata, terdapat teknologi baharu bagi menghalang ulat tiket mengambil kesempatan ke atas permintaan tinggi tiket dan ia perlu diterima pakai.

Tetapi, katanya, teknologi itu hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan melonggarkan peraturan mengenai persembahan dan memberi insentif kepada penganjur untuk membawa lebih banyak artis membuat persembahan di negara ini.

“Jika kita mula mengadakan pesta muzik, konsert berskala besar dan menyediakan venue serta industri untuk menampungnya, industri itu sendiri perlu melabur dalam teknologi lebih bagus yang boleh menghapus kegiatan ulat tiket (dan menjual semula tiket).”

Pelesenan

Pengasas bersama Industries Unite, David Gurupatham berkata, industri hiburan tidak memerlukan lebih banyak peraturan buat masa ini kerana ia sudah terlalu dikawal.

David Gurupatham.

Katanya, langkah memberi lesen kepada agensi tiket dan penjual semula mungkin antara penyelesaiannya, selain cara ini paling mudah serta tidak membebankan penganjur acara.

Beliau mencadangkan agensi berlesen ini hanya diperuntukkan sebahagian kecil tiket untuk dijual dan mereka tidak boleh dibenarkan menjualnya pada harga melebihi peratusan tertentu harga asal tiket.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.