Jangan persenda peranan wartawan menyampai maklumat benar, kata khutbah khas di Perak

Jangan persenda peranan wartawan menyampai maklumat benar, kata khutbah khas di Perak

Menyampaikan maklumat yang benar merupakan hak, dan memenuhi tanggungjawab itu fardu kifayah, menurut khutbah khas yang disediakan atas titah Sultan Nazrin.

Khutbah khas di Perak bersempena Hari Wartawan Nasional memperakui tugas wartawan dipenuhi cabaran dan pengamalnya berhadapan pelbagai kesulitan bahkan bahaya ketika mengumpul maklumat.
PETALING JAYA:
Menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat merupakan peranan wartawan yang tidak harus dipersendakan atau dipermainkan mana-mana pihak, menurut khutbah Jumaat yang dibacakan di masjid serata Perak hari ini.

Khutbah itu memperakui tugas wartawan dipenuhi cabaran dan pengamalnya berhadapan pelbagai kesulitan bahkan bahaya ketika mengumpul maklumat.

“Ada kalanya mereka terpaksa berjaga sepanjang malam, terdedah kepada perubahan cuaca, juga persekitaran yang tidak menentu; apatah lagi apabila mereka ditugaskan membuat liputan berita di kawasan yang dilanda bencana alam atau di kawasan yang terlibat dengan konflik dan peperangan.

“Ada dalam kalangan mereka yang menghadapi kecederaan malah ada yang kehilangan nyawa,” menurut khutbah yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), atas titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional di Ipoh.

Khutbah itu menegaskan bahawa menyampaikan maklumat yang benar merupakan hak, dan memenuhi tanggungjawab itu pula fardu kifayah.

“Perkara yang benar wajib dikatakan benar; dan perkara yang salah wajib dikatakan salah,” katanya.

Fardu kifayah bermaksud tuntutan bersama bagi orang Islam, yang apabila dilaksanakan oleh seseorang antara mereka, yang lain bebas daripada tanggungjawab itu.

Justeru, khutbah menyeru para wartawan memahami, menghayati, dan mengamalkan adab kewartawanan ketika menyempurnakan tugas, serta memenuhi tanggungjawab berpandukan adab yang menuntut sikap terbuka, adil, saksama dan seimbang, serta tidak memfitnah.

“Maklumat yang disampaikan dan cara berita diolah akan mencanai pemikiran dan mempengaruhi tindakan pembaca,” katanya.

Yang Dipertua MAIPk, Mohd Annuar Zaini, dalam kenyataan berkata khutbah bertemakan “Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam” ini disediakan atas titah Sultan Perak yang mengiktiraf peranan wartawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.