
Beliau berkata, pemerintah sedia mendengar teguran itu asalkan ia bukan memfitnah atau menghukum.
“Ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi supaya (kerajaan) boleh perbaiki. Itu yang ditekankan…bukan mencerca, memfitnah atau menghukum.
“Insya-Allah kita akan mendengar. Ada hal-hal yang kadang kita setuju tetapi mungkin tidak laksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita dan tahap kefahaman umat juga satu hal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Muzakarah Ulama dan Umara: Festival Turath Islami Selangor 2023.
Sementara itu, mengulas serbuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap 11 butik Swatch yang didakwa mengeluarkan koleksi jam bertema warna pelangi daripada “Pride Collection”, Anwar berkata ia bukan mengenai isu warna sebaliknya elemen LGBT pada jam tersebut.
“Biar KDN jelaskan. Maafkan saya, kerana saya belum melihat perinciannya,” katanya.
Pengeluar jam dari Switzerland, Swatch Group akan mengambil tindakan untuk mendapatkan kembali koleksi yang dirampas.
Menurut Reuters, CEO Swatch Nick Hayek berkata beliau kecewa dengan kejadian itu dan menegaskan koleksi jam warna pelangi dengan mesej keamanan dan kasih sayang itu tidak membahayakan sesiapa.
Sebelum ini, warganet mengaitkan koleksi berkenaan dengan sokongan kumpulan rock Britain, Coldplay, terhadap lesbian, gay, biseksual, dan transgender.
Dalam perkembangan lain, menyentuh isu air, Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau sedang mengatur pertemuan dengan kerajaan Kelantan dan Sabah minggu depan .
“Saya sedang mengatur pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Kewangan dan menteri besar Kelantan.
“Begitu juga dengan Sabah, saya cuba ubah suai jadual untuk jumpa minggu depan,” katanya.