Remaja mengaku salah kes seksual diperintah jalani khidmat masyarakat

Remaja mengaku salah kes seksual diperintah jalani khidmat masyarakat

Mahkamah menerima rayuan remaja itu dan mengarahkannya menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam.

Pada 5 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak rayuan remaja mengetepikan hukuman ditempatkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun atas empat kesalahan seksual. (Gambar Bloomberg)
PUTRAJAYA:
Seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan berkaitan seks diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan supaya menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam.

Ini selepas panel tiga hakim terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, M Gunalan dan Lim Chong Fong membenarkan rayuan remaja itu untuk mengetepikan perintah mahkamah sebelum ini supaya dia dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Lim yang menyampaikan keputusan itu berkata, perintah sewajarnya diberikan kepada remaja itu yang kini berusia 18 tahun ialah supaya dia melakukan khidmat masyarakat selama 100 jam di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan menambah ia juga termasuk kaunseling serta pendidikan agama dan moral.

“Kami mengakui perintah dikenakan terhadap perayu mungkin tidak sesuai dan ideal untuk semua orang. Kami lebih suka meletakkan kepercayaan kepada perayu bahawa dia telah belajar daripada episod ngerinya dan tidak akan mengulanginya,” katanya.

Lim berkata, perintah Mahkamah Majistret yang bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk menghantar remaja itu ke Sekolah Henry Gurney, yang terletak di bawah bidang kuasa ketua pengarah penjara, berdasarkan laporan percubaan adalah menyalahi undang-undang kerana tiada penjelasan pegawai kebajikan dalam laporan itu menunjukkan remaja tersebut tidak sesuai untuk dipulihkan di sekolah yang diluluskan.

Beliau berkata, dalam menjatuhkan hukuman ke atas seseorang, mahkamah mesti mengambil kira keseimbangan yang memenuhi kepentingan awam dan menghalang berlaku semula jenayah serta memulihkan orang itu.

Lim berkata, mahkamah yakin remaja itu yang telah tersalah langkah kini kesal dan malu terhadap apa yang dilakukannya, sambil menambah bahawa bapa remaja itu telah mengakui bahawa anaknya menunjukkan perubahan sikap ke arah yang lebih baik.

Katanya, remaja itu kini menghabiskan lebih banyak masa di rumah dengan menumpukan pada pelajaran dan kurang menghabiskan masa pada telefon bimbitnya serta menonton rancangan animasi bagi mengelak keinginan melayari laman web pornografi.

Sementara itu, Hadhariah menasihati remaja itu supaya mengambil keputusan mahkamah sebagai pengajaran dan satu amaran supaya dia tidak mengulangi kesalahan itu atau dia tidak akan mendapat peluang kedua.

“Jika kamu melakukan kesalahan itu sekali lagi, tindakan undang-undang akan dikenakan. Jika kesalahan seksual itu di bawah Kanun Keseksaan, maka hukuman di bawah peruntukan itu akan terpakai,” kata beliau.

Budak lelaki itu berumur 15 tahun ketika dia melakukan kesalahan terhadap rakan dan adik perempuannya.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, yang bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, terhadap atas dua pertuduhan seksual fizikal dan satu lagi pertuduhan persetubuhan luar tabii.

Dia juga didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-kanak, atas satu pertuduhan seksual fizikal.

Pada 23 Sept 2020, Mahkamah Majistret Sepang memerintahkan remaja itu ditempatkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun manakala Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah yang sama pada 4 Feb 2021 selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Rayuannya terhadap perintah itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 5 Nov 2021, menyebabkannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mewakili remaja itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mewakili pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.