
Beliau berkata, antara langkah awal diambil PTG ialah melakukan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi semua 3,214 hektar tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.
Menurutnya, kemasukan Kaveat Pendaftar itu bertujuan supaya sebarang pindah milik selepas ini hanya dibenarkan kepada orang Melayu agar Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu dapat dikuatkuasakan iaitu mengembalikan semula status tanah berkenaan sebagai Tanah Rizab Melayu Pegangan Melayu.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui PTG melaksanakan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria sedia ada untuk syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi permohonan pemberimilikan tanah.
“Langkah-langkah ini ialah usaha berterusan kerajaan negeri bagi menangani isu ini secara cermat dan bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Faisal ingin tahu bagaimana sebuah syarikat atau pertubuhan yang tidak menetapkan syarat bahawa pemilikan syarikat atau pertubuhan mestilah terdiri daripada orang Melayu sahaja, boleh dibenarkan oleh menteri besar terdahulu mengambil alih tanah berstatus rizab Melayu di Perak.
Saarani berkata, langkah mitigasi itu dilakukan bukan sahaja untuk membuat penambahbaikan kepada teguran Laporan Ketua Audit Negara, tetapi juga atas niat untuk melindungi kepentingan tanah rizab Melayu seperti terkandung dalam wasiat Raja-raja Melayu supaya nisbah 50% tanah di Perak ialah tanah simpanan Melayu.
Sementara itu, Saarani berkata statistik bagi keluasan tanah rizab Melayu untuk lima tahun sebelum ini ialah 950,326 hektar pada 2019, 2020 (950,056 hektar), 2021 (953,042.67 hektar), 2022 (953,075 hektar) dan 2023 (953,178.52 hektar).