2 polis trafik dituduh rasuah tak tangkap pesalah

2 polis trafik dituduh rasuah tak tangkap pesalah

Tertuduh didakwa minta dan terima suapan sebagai dorongan tidak menangkap lelaki yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik.

Muhammad Nazmi Baharum dan Mohammad Alqayyum Hasim didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan meminta dan menerima suapan.
SHAH ALAM:
Dua anggota polis trafik berpangkat lans koperal masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan tiga tahun lalu.

Muhammad Nazmi Baharum, 33, dan Mohammad Alqayyum Hasim, 30, yang bertugas di cawangan penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki berusia 27 tahun sebagai dorongan tidak menangkap lelaki tersebut yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik di bawah jejambat berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) pada 3.30 petang, 3 Okt 2020.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama memperoleh suapan wang tunai RM900 daripada individu sama sebagai dorongan berhubung perbuatan sama di perhentian bas berhampiran sebuah stesen minyak di Balakong pada 4 petang, tarikh sama.

Bagi kedua-dua perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.