Baiki tatakelola selesai masalah air Kelantan, menteri nasihat AKSB

Baiki tatakelola selesai masalah air Kelantan, menteri nasihat AKSB

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tanpa langkah itu permasalahan bekalan air di Kelantan tidak akan selesai.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya bersedia melihat soal kewangan termasuk pembinaan loji rawatan dan penggantian paip bagi menyelesaikan masalah air Kelantan.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memperbetulkan urus tadbir mereka bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya sedia melihat soal kewangan termasuk pembinaan loji rawatan air dan penggantian paip bagi menyelesaikan masalah air dihadapi di negeri itu.

“Saya juga telah mengingatkan dalam pertemuan semalam, sebagaimana jawapan bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man, tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan ini tidak akan selesai.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini secara terbuka menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu air di Kelantan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pihak kementerian juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik bersama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Azami Mohd Nor serta pengurusan tertinggi AKSB untuk berbincang berhubung masalah air Kelantan.

Kelmarin, tular di Facebook satu notis mengenai pemberian sagu hati raya RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah AKSB, yang dipercayai melibatkan sembilan individu.

Pengurus Besar AKSB, Nazmi Ghazali Azmi sebaliknya meminta media “memadam dokumen berhubung pemberian” sagu hati Aidilfitri itu kerana menyebarkan dokumen sulit adalah menjadi kesalahan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, antara isu lain dibincangkan termasuk berkaitan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang yang diluluskan oleh pusat di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan cadangan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi TAPS yang akan dibina.

Katanya, perkara lain dibincangkan seperti berkaitan pelaksanaan program pengurangan air tidak berhasil (NRW) melalui penggantian paip usang dan hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar selari dengan Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negeri Kelantan.

“Turut disentuh adalah berhubung perizaban tanah loji pembetungan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan hapus kira baki pinjaman projek pembetungan kepada geran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.