Sudah-sudah fokus ‘isu lama’, Zahid beritahu komponen BN

Sudah-sudah fokus ‘isu lama’, Zahid beritahu komponen BN

Pengerusi BN itu berkata, parti-parti dalam gabungan itu harus menumpukan perhatian kepada memperbaiki diri dan menarik pengundi.

Pengerusi BN Zahid Hamidi menggesa parti-parti komponen gabungan itu agar mengukuhkan diri.
GEORGE TOWN:
Parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya berasa kecil hati atau merasakan seolah-olah terpinggir dalam rangka kerja kerajaan perpaduan sekarang kerana mereka adalah sebahagian daripada gabungan yang lebih besar, kata Pengerusi BN Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, berkata berbanding fokus kepada “isu lama”, parti komponen BN sebaliknya harus berusaha memperbaiki diri dan menarik pengundi.

“Saya tak mahu mana-mana parti kecil hati apabila kita bekerjasama secara ‘smart partnership’ … Wujudkan tanggapan yang positif (terhadap kita).

“Perkukuhkan parti masing-masing itu lebih penting daripada melayani kekecilan hati (dalam parti),” katanya.

Zahid berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon semalam agar Zahid fokus menjaga rakan pakatan BN selepas beliau seolah-olah menyokong calon DAP untuk PRN akan datang.

Chong meminta Zahid agar berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan PH.

“Perlu diingatkan bahawa sebagai pengerusi BN, beliau haruslah menjaga kepentingan dan mengutamakan parti komponen dalam BN, bukannya mengutamakan PH terutamanya DAP,” katanya.

Ini susulan Zahid mengakui Umno sukar “memujuk” ahlinya menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Presiden Umno itu berkata, pihaknya sedia bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait kerjasama antara Umno dengan parti tersebut.

Katanya, semua parti dalam BN mesti ingat bahawa mereka berada bawah “khemah” yang lebih besar, merangkumi 19 parti bawah kerajaan perpaduan.

“(Dalam) realiti politik baharu, kita harus menyantuni keberadaan (19) parti-parti ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.