RUU anti-lompat parti bakal ubah landskap politik Sabah, kata pemimpin GRS

RUU anti-lompat parti bakal ubah landskap politik Sabah, kata pemimpin GRS

Armizan Mohd Ali juga menafikan pembentangan RUU itu pada Khamis, bertujuan menguatkan kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali berkata pembentangan RUU anti-lompat parti di DUN Sabah pada Khamis, bakal mengubah landskap politik di negeri itu dan bukannya bertujuan menguatkan kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyangkal dakwaan rang undang-undang (RUU) anti-lompat yang akan dibentangkan di persidangan DUN Sabah pada Khamis, adalah semata-mata untuk menguatkan kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata pembentangan RUU itu merupakan hasrat pelbagai pihak termasuk Adun pembangkang sendiri yang ingin melakukan perubahan di Sabah.

“Bila mengaitkan RUU ini sebagai satu pendekatan memperkukuhkan kerajaan bawah pimpinan Hajiji, bagi saya ia kurang tepat.

“Jangan ada mana-mana pihak yang cuba untuk berlagak suci atau berpura-pura jadi mangsa,” katanya kepada FMT di Parlimen.

RUU anti-lompat parti akan dibentangkan di persidangan DUN Sabah esok. RUU pindaan perlembagaan negeri merupakan salah satu daripada empat RUU akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal keempat DUN Sabah bermula dari 22 hingga 25 Mei ini.

Penganalisis politik dan pembangkang, termasuk Muda Sabah dan Warisan, menuduh kerajaan negeri sengaja menangguhkan kelulusan RUU itu bagi mengukuhkan kedudukan mereka dan memudahkan Adun melompat parti.

Ini berlaku selepas lapan Adun Warisan dan Umno keluar parti pada Mac untuk menyertai GRS.

Dalam pada itu, Armizan yang juga menteri hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas, berkata sejarah lompat parti di Sabah bukan hanya berlaku masa ini tetapi sejak sekian lama.

Beliau memberi contoh kerajaan pimpinan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman yang tumbang hanya beberapa hari memerintah pada 2018 kerana insiden lompat parti.

“Kalau kita imbas kembali di Sabah contohnya peristiwa pada 2018, kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) dibentuk dan Musa Aman telah mengangkat sumpah.

“Tetapi kerana insiden lompat, kerajaan itu hanya bertahan beberapa hari dan Warisan di bawah pimpinan Shafie Apdal mengambil alih pentadbiran dan menjadi ketua menteri (ketika itu),” katanya.

Armizan juga berharap semua pihak tidak mempolitikkan dan mempolemik pembentangan RUU anti-lompat parti di Sabah.

Beliau berharap RUU itu akan diluluskan bukan hanya 2/3 sokongan tetapi daripada semua Adun di Sabah.

“Kita juga tidak mahu Adun dari BN dan Warisan tidak hadir dalam pembentangan RUU anti-lompat parti seperti mana (tidak hadir) ketika pembentangan dua RUU penting sebelum ini.

“Kegagalan mereka hadir pada persidangan DUN Sabah, 9 Jan lalu, ketika kerajaan negeri membentangkan RUU Bekalan Gas Sabah 2023 dan RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 yang dinanti-nantikan rakyat Sabah amat mengecewakan,” katanya.

Pada masa sama, Armizan turut menafikan dakwaan pembangkang kerajaan sengaja melengahkan pembentangan RUU anti-lompat parti.

Beliau berkata, sebelum dibentangkan di DUN Sabah, RUU itu memerlukan kajian secara menyeluruh termasuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

“Sidang kali ini diputuskan untuk kerajaan negeri membentangkan RUU tersebut. Jadi sekiranya tidak disokong, bagi saya ini merupakan satu tindakan bertentangan dengan apa mereka suarakan sendiri,” katanya.

Pindaan itu dibuat selepas RUU anti-lompat parti melarang Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2022. RUU kemudiannya digazet dan dikuatkuasa pada 5 Okt 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.