
Anwar berkata persaingan perlu digalakkan bagi membolehkan harga diturunkan dan memastikan pengguna tidak dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Kita (kerajaan) mencari jalan untuk memecahkan monopoli,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Kata Anwar, tidak wujud monopoli dalam sektor bekalan air kerana ianya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.
Tambahnya, monopoli juga tidak wujud dalam sektor bekalan tenaga elektrik, dengan beberapa pengeluar tenaga bebas beroperasi, dan juga sektor penyelenggaraan lebuh raya.
Anwar menjawab soalan daripada Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada kerajaan akan memecahkan monopoli dalam sektor seperti tenaga elektrik bekalan air, dan penyelenggaraan lebuh raya.
Pada 24 Mac, Anwar berkata kerajaan menyemak semula semua monopoli yang wujud ketika ini bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang adil dan lebih baik.
Katanya, semua kementerian diarahkan untuk mengkaji rasional disebalik membenarkan sesuatu monopoli supaya ada penilaian yang adil terhadap isu itu.